Polis siasat pengetua sekolah didakwa hantar mesej lucah pada pelajar

Gambar Hiasan

Polis hari ini mengambil keterangan tiga individu termasuk pengetua yang didakwa terlibat dalam aktiviti “pengantunan seksual” melibatkan pelajar sekolah di negeri ini.



Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din berkata setakat malam ini, sebanyak tiga rakaman percakapan telah direkodkan melibatkan pengetua terbabit serta dua saksi.

“Siasatan akan diteruskan dengan merakam percakapan beberapa saksi lain dan bahan bukti akan dihantar ke Makmal Forensik untuk dianalisis,” katanya ketika dihubungi Bernama, sebentar tadi.

Mohd Kamarudin berkata, satu laporan polis juga telah dibuat pada Selasa lepas (9 Jan) dan setakat ini, pihaknya menerima satu laporan melibatkan pengetua berkenaan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Mohd Kamarudin berkata demikian ketika ditanya sama ada laporan polis telah dibuat ke atas pengetua sekolah menengah itu dan diambil keterangannya.




Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan dilaporkan berkata pengetua berkenaan telah “dikeluarkan” daripada sekolah berkenaan dan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah sementara siasatan dijalankan oleh pihak kementerian.

Katanya, tindakan itu adalah bertujuan untuk memastikan suspek tidak mengganggu mangsa atau pelajar ketika siasatan sedang dijalankan.

Pengetua berkenaan, yang baru-baru ini mendapat anugerah pengetua cemerlang, turut didakwa menghantar mesej-mesej berunsur lucah, yang kini viral dalam media sosial.

Difahamkan Pengetua tersebut sudah ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).



(Visited 140 times, 1 visits today)

Comments

comments