Lelaki cuba cabul teman baik ditahan

KUALA TERENGGANU: Padah cuba mencabul rakan baiknya yang juga isteri orang di sebuah rumah di Marang, seorang lelaki ditahan polis di daerah ini semalam.

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, pada jam 12.45 tengah malam.



Sumber berkata, dalam kejadian pada jam 10.30 malam Ahad lalu, mangsa berusia 26 tahun ke rumah suspek dengan keizinan suaminya, untuk meminjam telefon bimbit bagi menghubungi ibunya yang sedang berniaga di pasar malam di Marang.

Katanya, suspek kemudian menyuruh mangsa masuk ke dalam rumahnya untuk mengambil sendiri telefon bimbit yang sedang dicas di ruang tamu rumah.

“Bagaimanapun, sebaik mangsa masuk ke dalam rumah untuk mengambil telefon bimbit itu, suspek bertindak mengunci pintu utama rumah berkenaan.

“Suspek kemudian dikatakan menarik tangan mangsa dan memaksa wanita itu masuk ke dalam biliknya sebelum mengunci pintu.

“Mangsa juga sempat bertanya kepada suspek mengapa memperlakukan sedemikian sedangkan suspek baik dengan ahli keluarganya,” katanya.





Bagaimanapun, cubaan suspek untuk melakukan perkara buruk terhadap mangsa terbantut selepas suami wanita itu datang ke rumah berkenaan.

“Mangsa terus menjerit sebaik terdengar suara suaminya memanggil. Suami mangsa yang panik mendengar jeritan mangsa beberapa kali mengetuk pintu dengan kuat, bagaimanapun suspek enggan membukanya.

“Suami mangsa kemudian bertindak mengumpil tingkap sebelum berjaya masuk ke dalam rumah menyebabkan suspek segera melarikan diri mengikut pintu belakang,” katanya.

Bagaimanapun sumber berkata, kejadian itu tidak berakhir di situ apabila suspek kemudian dikatakan menuduh suami mangsa menceroboh rumahnya dengan membawa parang dan merosakkan rumahnya.

Susulan kejadian, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan keluarganya membuat laporan di Balai Polis Chendering bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan tangkapan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut 354/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencabul.



(Visited 262 times, 1 visits today)

Comments

comments