Kuwait bakal uji Harimau Malaya

Pasukan ranking ke-147 dunia, Kuwait, sah bakal menguji skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, awal Jun depan.


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, berkata perlawanan pemanas badan berkenaan merupakan sebahagian persiapan skuad kebangsaan sebelum berhadapan Thailand bagi aksi Kumpulan G, pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Bangkok, 9 Jun depan.

“Kami baru sahaja mendapat pengesahan daripada Kuwait yang bersetuju untuk mengadakan aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan pada Jun depan dan saya melihat ia satu peluang terbaik kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menilai persediaan pemain negara sebelum berlepas ke Bangkok nanti,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Stuart sebelum ini mengesahkan juara Piala Negara Teluk 2019, Bahrain, telah bersetuju untuk mengadakan aksi pemanas badan dengan Malaysia di Bukit Jalil, Mac depan.





Perlawanan berkenaan merupakan medan persediaan skuad Harimau Malaya sebelum berhadapan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Dunia 2023 di tempat lawan, 26 Mac depan.

Skuad kebangsaan akan meneruskan aksi pusingan kelayakan menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil selang lima hari kemudian.

Malaysia kini menduduki tempat kedua Kumpulan G itu dengan kutipan sembilan mata selepas lima perlawanan dan mereka berpeluang cerah ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China sekiranya mencatat keputusan positif dalam baki tiga perlawanan.

Kali terakhir Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia adalah pada edisi 2007 selaku tuan rumah bersama tiga negara ASEAN yang lain, iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam.- BERNAMA



(Visited 43 times, 1 visits today)

Comments

comments