FAS bersiap hadapi Piala Cabaran Asia

SHAH ALAM: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bakal melakar sejarah baharu dengan penganjuran Piala Cabaran Asia (Asian Challenge Cup) di Stadium Shah Alam, minggu depan.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon, berkata pihaknya sangat teruja dan bersedia untuk menghadapi cabaran bersama beberapa pasukan hebat dari negara Asia.



“Keistimewaan penganjuran ini adalah pertama kali dalam sejarah di Malaysia, satu pasukan menganjurkan kejohanan rasmi pra musim.

“Ini satu pencapaian baharu yang baik, belum pernah dianjurkan di Malaysia apabila kita menjemput pasukan hebat di negara Asia iaitu Hanoi FC, Persib Bandung, Bangkok United.

“Tiga pasukan gergasi akan hadir. Itu satu juga peluang kepada warga Shah Alam menikmati dan melihat kualiti bola sepak ini di peringkat Asia. Kita mahu menjadi sebahagian daripada perlawanan ini,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-tiga Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertemakan Pupuk Amalan Gaya Hidup Sihat di sini, hari ini.




Yang turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim serta tiga pemain bola Selangor, Brendan Gan, Muhammad Syahmi Safari dan Rodney Celvin Akwensivi.

Johan turut merakamkan penghargaan kepada MBSA yang memberi kerjasama dan menyokong usaha yang dilakukan.

“Terima kasih dan tahniah untuk 20 tahun pembangunan di Shah Alam malah rakyat dapat menikmati pembangunan bersama MBSA.

“Saya berbangga dapat bekerjasama dengan MBSA dalam kejohanan ini, kita harap kerjasama ini diteruskan pada tahun akan datang di mana FAS menjadi satu instrumen yang menyatupadukan penduduk Shah Alam dan saya harap ramai turun menyokong pasukan Selangor,” katanya.

Sementara itu, tiga pemain Selangor turut memberikan keyakinan mampu membantu ke arah kejayaan sukan bola sepak negeri ini dengan kemampuan masing-masing.





Brandon Gan menyifatkan peluang beraksi dalam Piala Cabaran Asia itu bukan sahaja mempromosikan kehebatan setiap pemain malah sebagai ujian terbaik pembukaan cabaran 2020.

“Saya akan lakukan yang terbaik setiap kali beraksi di padang agar peminat bola sepak seronok dan teruja menyaksikan perlawanan itu.

“Harapan saya setiap kali bermain untuk memenangi setiap perlawanan, ia bukan semua yang mudah kerana setiap pasukan ada kekuatan tersendiri tetapi kami yakin dapat melakukan yang terbaik,” katanya.

Bagi Rodney pula, barisan pemain Selangor yang hebat menjadi motivasi kepada beliau sendiri malah beliau mahu bekerja keras untuk Piala Cabaran Asia sebagai permulaan mencabar tahun ini.

“Sasaran saya adalah untuk membantu memenangi satu atau dua piala untuk Selangor dan untuk diri saya pula, saya sendiri kena menambahbaik dan menonjolkan diri sendiri. Kami kena bagi terbaik, kalau menang satu bonus kepada pasukan,” katanya.



(Visited 42 times, 1 visits today)

Comments

comments