Saya tidak menyesal – Sarjan Sham

KAKINYA kudung terkena jerangkap samar, serpihan bom juga masih berada dalam tubuhnya, namun pesara tentera, Mohammad Sham Hassan, 77, tidak menyesal kerana menyedari itulah harga kebebasan.

Ditemui di rumahnya di Taman Temiang Jaya di Seremban, Mohammad Sham yang bersara pada tahun 1989 berkata, hatinya puas melihat Malaysia membangun dan maju hasil perjuangan anggota pasukan keselamatan zaman dahulu.



“Sepanjang pengetahuan saya, lebih 425 anggota dan pegawai tentera kehilangan anggota badan ketika menentang komunis, malah sebenarnya lebih ramai yang parah dan terkorban sepanjang negara menuntut kemerdekaan dan bebas daripada ancaman komunis.

“Untuk membolehkan generasi hari ini tidur lena, pasukan keselamatan dahulu terpaksa menggadai nyawa di dalam hutan. Operasi di hutan waktu itu amat sukar dan bahaya, ada yang ditembak pengganas komunis dan ada yang terpijak jerangkap samar.

“Walaupun tiada jaminan untuk kami pulang dalam keadaan selamat setiap kali menyertai operasi, kami tetap memilih untuk berjuang demi bangsa, agama dan negara,” katanya yang ditemani isteri, Zaiton Abdullah, 75, ketika ditemui NSTP, hari ini.

Menceritakan tragedi menimpanya, Mohammad Sham yang pangkat terakhirnya Sarjan mengetuai tiga anggota risik untuk meninjau pergerakan komunis di kawasan hutan di Batu 52, Jalan Kroh-Baling, pada jam 5 petang, 24 Oktober 1974.

“Kami diturunkan di tepi jalan di pinggir hutan dan mula mendaki tebing bukit sebelum saya ternampak beberapa bendera sempena sambutan Hari Marxis yang diraikan oleh komunis dipasang di atas pokok di kawasan itu.

“Tiba-tiba saya terdengar letupan kuat serentak dengan ‘hujan lebat’. Saya jatuh terduduk, tetapi tidak berasa sakit, namun apabila melihat aliran air yang mengalir di atas tanah berwarna merah, baru saya sedar kaki kiri saya hancur berlumuran darah akibat terpijak jerangkap samar.

“Anggota lain cuba membantu, namun saya menjerit supaya mereka menjauhi kawasan itu kerana tahu pasti ada banyak jerangkap samar. Saya merangkak turun semula ke jalan raya dan tidak lama kemudian baru terasa kesakitan yang tidak dapat digambarkan.





“Memang perasaan bercampur baur selepas kejadian itu, malah kecewa kerana peluang untuk dinaikkan pangkat menjadi pegawai musnah. Namun, saya reda kerana menyedari itu adalah sedikit pengorbanan saya untuk negara, malah saya bersyukur kerana masih hidup,” katanya.

Mohammad Sham yang kini tidak mampu berjalan tanpa tongkat akibat penyakit buah pinggang dan darah tinggi, berkata kejadian itu berlaku ketika berkhidmat dengan Batalion Ke-11 Rejimen Askar Wataniah dan menyertai Ops Kota di kawasan Kroh (kini Pengkalan Hulu).

Beliau ditukarkan ke Cawangan Sel Anggota Palsu di Hospital Tentera di Kinrara, Puchong, selepas pulih dan meneruskan khidmat dengan menjaga kebajikan serta memberi semangat kepada anggota tentera yang senasib dengannya.

Katanya, selain kaki kiri kudung, masih terdapat serpihan kecil bom jerangkap samar itu yang tidak dikeluarkan pada bahagian punggung dan kaki, menyebabkannya berasa tidak selesa dan sakit hingga sekarang.

Menurutnya, bekas anggota tentera sepertinya tidak mengharapkan pujian daripada masyarakat, namun cukup sekadar kerajaan menjaga kebajikan mereka dan rakyat Malaysia menghargai serta mengekalkan keamanan yang dinikmati selama ini. – HMetro



(Visited 63 times, 1 visits today)

Comments

comments