Peniaga Burger ditikam di dada

PENIAGA burger cedera ditikam di bahagian dada oleh seorang lelaki di Jalan Tunku Asaad, di Kulim, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam, mangsa yang berusia 32 tahun itu berniaga di gerainya sebelum didatangi suspek yang berusia 34 tahun.



Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas suspek cuba mengambil wang tunai yang terdapat di dalam sebuah bekas yang berada di atas meja gerai berkenaan.

“Mangsa menghalang suspek daripada mengambil wang berkenaan menyebabkan suspek bertindak mencapai sebilah pisau pemotong sayur yang berada di atas meja di gerai itu lalu menikam mangsa di bahagian tengah dada.





“Orang awam yang berada di lokasi kejadian sempat menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.

Mohd Yusuf berkata, suspek dipercayai mempunyai masalah mental selain satu rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan. – HMetro



(Visited 27 times, 1 visits today)

Comments

comments