Dah jumpa, saya ambillah!

“DAH (sudah) jumpa, saya ambillah…” Itu reaksi selamba seorang wanita selepas ‘kantoi’ melarikan telefon pintar jenis iPhone XS milik wanita yang tertinggal dalam tandas di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, Sabtu lalu.

Perbuatan wanita lingkungan 40-an itu terbongkar selepas pemilik telefon terbabit, Azreen Junaida Abdul Aziz, 38, berjaya menjejak kedudukan telefon di sebuah restoran makanan segera dalam pusat beli-belah berkenaan.



Sebelum itu, Azreen Junaida bersama empat anak ke pusat beli-belah itu untuk menonton wayang sebelum seorang anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) mengadu mahu ke tandas.

Menceritakan lebih lanjut, dia berkata, sebaik memasuki tandas, dia turut ‘tumpang sekaki’ untuk membuang air sebelum meletakkan telefon itu bersebelahan tempat pam dalam tandas berkenaan.

Sebaik selesai, dua beranak itu bergegas masuk ke pawagam untuk menonton semula filem itu, namun belum sempat duduk, dia teringat telefon miliknya tertinggal dalam tandas.


“Apabila tiba, saya tengok pintu terkunci dan seorang wanita keluar. Wanita itu adalah pekerja di pawagam terbabit dan saya bertanyakan padanya sama ada ternampak telefon dalam tandas, namun dia jawab tidak tahu.

“Pekerja bernama Insyirah itu kemudian bertanyakan saya jenis telefon itu dan kebetulan dia memakai telefon sama seperti saya.

“Dia kemudian menggunakan aplikasi kekunci pengaktifan untuk mengesan kedudukan telefon,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia memasukkan kata laluan menggunakan telefon milik Insyirah dan berjaya mengesan kedudukan telefonnya yang masih berada dalam pusat beli-belah berkenaan.

Mereka kemudian menjejak kedudukan sebenar secepat mungkin kerana bimbang individu itu keluar dari pusat beli-belah itu, sekali gus menyukarkannya mendapatkan semua telefon itu.

“Arah tuju menunjukkan telefon saya berada di restoran makanan segera dan apabila tiba tepat pada lokasi, saya tekan butang ‘beep’ dan telefon itu berbunyi.

“Rupa-rupanya telefon saya ada pada wanita itu yang kebetulan berdiri di belakang saya. Dia ketika itu sedang beratur membeli aiskrim dan sebaik mengeluarkan telefon, saya segera meminta daripadanya.




“Sebelum itu, wajahnya berubah bila telefon saya ‘menjerit-jerit’ dalam beg tangannya. Alhamdulillah, rezeki masih berpihak pada saya dan saya berterima kasih pada Insyirah atas bantuan diberikan, semoga dia dirahmati Allah selalu,” katanya yang menetap di Bangi.

Azreen Junaida berkata, dia sedih kerana masih terdapat individu bersikap demikian tanpa memikirkan kesukaran bakal dihadapi orang lain kelak.

“Kita kena ingat, hari ini orang lain jadi mangsa, mungkin suatu hari nanti giliran kita pula. Sebab itu, kejujuran kena ada dalam diri masing-masing,” katanya.

Pengalaman dilalui Azreen Junaida kemudian dikongsikan dalam FB miliknya hingga mendapat perhatian netizen. – HMetro



(Visited 116 times, 1 visits today)

Comments

comments