[VIDEO] Detik cemas kanak-kanak ‘bermain’ dengan ular

SHAH ALAM – Satu rakaman video yang tular di media sosial Facebook memperlihatkan seorang kanak-kanak ‘bermain’ dengan seekor ular disangkakan alat mainan di luar rumahnya.



Rakaman dimuat naik melalui page ‘durian media’ menunjukkan seorang kanak-kanak berbaju putih duduk asyik bermain seorang diri sebelum memunggah bakul mainan miliknya yang berada di tepi kirinya.

Dia kemudiannya terbalikkan bakul itu bagi mengeluarkan kesemua mainannya sebelum terjumpa satu ‘objek’ yang menarik perhatiannya.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) durasi 2 minit 21 saat di luar rumah itu tanpa mengetahui bahaya menanti, kanak-kanak itu dilihat memegang, menarik badan ular yang tersangkut di celahan lubang bakul permainan itu.

Kanak-kanak itu juga cuba menarik ular itu berkemungkinan mahu bermain dengan objek itu namun percubaannya gagal.




Kemudian kanak-kanak itu memasukkan semula peralatan mainan ke dalam bakul dan mengangkat bakul ke dalam rumah.

Bagaimanapun secara tiba-tiba kanak-kanak itu terduduk setelah dipercayai dipatuk ular berkenaan pada bahagian kaki sebelum diselamatkan seorang lelaki dipercayai ahli keluarganya.

Seorang wanita juga bertindak membawa tali dan mengikat di bahagian kaki kanak-kanak malang untuk rawatan segera sebelum kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital.

Perkongsian video itu meraih 16,000 tontonan dari netizen dan mereka juga mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa awasi anak-anak kecil ketika bermain selain memantau persekitaran rumah agar tiada ancaman dari haiwan berbisa. – Sinar Harian



(Visited 88 times, 1 visits today)

Comments

comments