Universiti Oxford ‘haramkan’ tepuk tangan?

TAHUKAH anda tidak semua orang menyenangi suasana ketika orang ramai bertepuk tangan? Dibimbangi kesan daripada itu boleh menyebabkan seseorang itu mengalami keresahan.



Untuk itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi tersohor dunia Universiti Oxford di England sepakat memilih menggantikan tepuk tangan dengan silent wave.

Ia dalam usaha menjadikan penganjuran acara mereka lebih inklusif kepada golongan yang mengalami masalah keresahan.

Polisi baharu itu yang menggalakkan tepuk tangan senyap – atau jazz hands – telah diluluskan pegawai Kesatuan Pelajar pada Selasa lalu, mengikut jejak Universiti Manchester tahun lepas.

Jazz hands dilakukan dengan tapak tangan terbuka di hadapan sambil menggoyangkannya, seakan lambaian perpisahan yang dilakukan dengan kedua-dua belah tangan.





Pegawai Sabatikal Róisín McCallion menerangkan bahawa mereka mahu mula menggunakan British Sign Language (BSL) bagi memastikan semua acara “lebih mudah diikuti dan inklusif kepada semua, termasuk golongan yang mengalami masalah keresahan” yang mudah rasa tidak selesa apabila orang sekeliling bertepuk tangan.

Ia akan digunakan untuk semua acara kesatuan pelajar dan jika ia terbukti berjaya, ia akan mula digunakan di tempat dan acara lain pula.

Keputusan itu bagaimanapun mencetuskan kritikan banyak pihak. Beberapa pihak mendakwa pihak universiti “mendiskriminasi secara positif” terhadap golongan yang mungkin tidak dapat menangani “dunia sebenar yang luas”.

“Apa pula selepas ini? Bola sepak dan kriket atau perhimpunan politik yang senyap?” kata seorang pemerhati.




“Sekitar 80 tahun lalu, pelajar Oxford mempunyai keberanian untuk berjuang demi negara, tetapi sekarang mereka takut bertepuk tangan,” kata Pengerusi Parti Brexit, Richard Tice.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pihak yang mempertahankan langkah itu.

“Mereka hanya mahu menjadi lebih inklusif dan lebih menerima,” seorang ahli parlimen belia dilaporkan berkata.

Pada tahun 2015, Kesatuan Pelajar Kebangsaan di UK juga memperkenalkan BSL dalam acara anjuran mereka, dalam usaha untuk memastikan bahawa semua anggota masyarakat berasa selesa serta dapat menyumbang dan mengambil bahagian.



(Visited 42 times, 1 visits today)

Comments

comments