Pulang Ke Pangkuan Keluarga Setelah 35 Tahun Di Bumi Amerika

KUALA LUMPUR, 17 Oct: Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan menyiarkan kisah pilu bagaimana penantian selama 47 tahun kepulangan seorang ayah kepada lima orang anak yang merantau ke Britain, berakhir dengan kesedihan.

Tragisnya apabila perantau yang berasal dari Melaka ini meninggal dunia selepas tiga hari keluarganya berjaya mengesan keberadaannya di luar negara dan mengutus e-mel untuk berhubung dengannya.



Sudah banyak kejadian rakyat Malaysia yang merantau ke luar negara terputus hubungan dengan keluarga dan sanak-saudara di tanah air. Kebanyakan kes berakhir dengan kegembiraan apabila perantau kembali ke pangkuan keluarga, namun ada kisah berakhir dengan kesedihan apabila perantau gagal bertemu dengan keluarga sehingga akhir hayat mereka.

Kes terbaharu, seorang warga Malaysia yang terputus hubungan dengan keluarganya di tanah air selama 35 tahun kerana melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS), akhirnya pulang ke tanah air Mei lalu.

Ketibaan Zaidi Mohd Zaid, 54, yang berasal dari Kubang Rawa, Salor, Kota Bahru, Kelantan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut puluhan anggota keluarga dan sanak saudara.

“Saya menangis, kami semua menangis dan saling berpelukan. Adik bongsu saya yang berusia dua tahun semasa saya berangkat ke AS, kini bapa kepada lima orang anak.

“Sebaik mendarat di KLIA, saya begitu kagum dengan kepesatan KLIA, bukti betapa Malaysia muncul sebagai sebuah negara moden dan membangun,” kata Zaidi dalam nada yang penuh beremosi.

Zaidi Mohd Zaid yang berasal dari Kubang Rawa, Salor, Kota Bahru, Kelantan akhirnya pulang ke tanah air selepas merantau selama 35 tahun ke Amerika Syarikat.

Selepas pulang ke kampungnya di Kelantan, buat pertama kali sejak lebih 30 tahun, Zaidi bersemuka dengan ibunya yang kini berusia 79 tahun untuk memohon ampun dan maaf agar beliau diterima dengan hati yang terbuka.

Namun, apakah sebenarnya yang telah berlaku pada Zaidi? Kenapa beliau menyisihkan diri daripada keluarga selama hampir tiga dekad ? dan apa pula yang menyebabkan beliau membuat keputusan untuk kembali ke pangkuan keluarga?.

SESAL, KECEWA KERANA MENGHAMPAKAN HARAPAN IBU BAPA

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama, Zaidi mengakui bahawa beliau berasa bersalah dan kecewa kerana menghampakan ibu bapanya selepas tercicir dalam pelajaran. Lantas beliau berazam tidak akan kembali ke tanah air selagi belum mengapai kejayaan di AS.

Berasal dari keluarga kelas pertengahan, ayah Zaidi merupakan seorang guru sekolah rendah di Salor dan amat menitikberatkan pendidikan. Beliau menghantar Zaidi ke sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) di Seremban yang jaraknya kira-kira 500 kilometer dari rumahnya ketika beliau 13 tahun.





Meskipun begitu, Zaidi, anak ketiga daripada tujuh adik-beradik sudahpun biasa berjauhan dengan keluarganya sejak remaja lagi. Pada tahun 1983, jarak perpisahan Zaidi dengan keluarganya bertambah apabila beliau melanjutkan pengajian ke California University di Sacramento, AS pada usia 18 tahun.

Demi untuk mencari wang saku tambahan ketika di AS, Zaidi bekerja secara sambilan sebagai pelayan di restoran piza di Sacramento. Dek kerana begitu taksub mencari wang, beliau berhenti belajar pada tahun ketiga penggajiannya untuk bekerja sepenuh masa.

“Saya tidak beritahu keluarga bahawa saya sudah tercicir daripada universiti. Saya hanya membisu kerana pada waktu itu saya masih bekerja sebagai pelayan dan kerjaya ini bukanlah suatu yang boleh dibanggakan,” katanya.

Dua tahun kemudian, Zaidi akhirnya mengutus surat kepada keluarga menyatakan bahawa beliau sudah berhenti belajar di universiti dan bekerja di AS. Sesungguhnya, berita itu sangat menghampakan keluarganya.

“Ibu membalas surat saya dan memaklumkan bahawa saya mengecewakannya dan ayah. Impian mereka juga berkecai kerana seluruh keluarga menaruh harapan tinggi pada saya,” kata Zaidi.

TIDAK BOLEH PULANG DENGAN TANGAN KOSONG

Dibebani rasa bersalah yang amat sangat, Zaidi kesal dan nekad tidak mahu pulang dengan tangan kosong. Ketika itu, beliau berusia 21 tahun dan memutuskan untuk mengecapi kejayaan di perantauan sebelum pulang ke negara sendiri.

Bagaimanapun, laluan hidupnya di AS penuh onak dan duri, kekecewaan demi kekecewaan dialaminya menyebabkan beliau terus menyisihkan diri daripada keluarga.

Lima tahun pertama, Zaidi tinggal di sebuah apartmen di Sacramento bersama beberapa pelajar Malaysia. Beliau melakukan kerja-kerja rencam termasuk sebagai pelayan kedai makan dan bekerja di gedung pemprosesan mel.

Zaidi kecewa impiannya tidak menjadi kenyataan dan beliau tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan keluarganya. Justeru beliau terus menjauhkan diri dan lama kelamaan hubungan dengan keluarga semakin jauh dan terputus sama sekali. Lebih-lebih lagi ketika itu, belum ada kemudahan telefon bimbit atau Internet, sementara kos panggilan antarabangsa melalui telefon pula mahal.

Jauh dalam sanubarinya, ada kalanya beliau terfikir untuk pulang ke tanah air, namun dugaan kehidupan yang dilaluinya menghalang niatnya untuk pulang.

Menjelang musim panas 1991, ketika masih dipalit kecewaan untuk mengejar impianya, Zaidi membuat keputusan untuk mencuba nasib di tempat baharu dan Reno City, Nevada di Barat Daya AS menjadi destinasi pilihan untuk memulakan lembaran baharu kehidupanya.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa Zaidi yang masih gagal mendapatkan pekerjaan meskipun sudah enam bulan berpindah ke Reno City.

Lebih menyayat hati, beliau tidak mengenali sesiapapun atau mempunyai tempat untuk berteduh. Beliau hidup sebatang kara dan menjadi gelandangan di situ.

“Ia suatu tempoh paling sukar dalam hidup saya, sentiasa berpindah-randah demi mencari sesuap nasi dan tempat berteduh dan bermalam.




“Ada kalanya saya ambil kesempatan untuk berteduh di beratus-ratus kasino yang dibuka 24 jam dan juga perpustakaan awam semasa cuaca sejuk,” katanya.

Ditanya bagaimana beliau terlepas daripada pihak berkuasa kerana tinggal secara tidak sah di negara itu, Zaidi menjelaskan sebaik tiba di AS sebagai penuntut, beliau berjaya memperoleh lesen memandu yang disertakan dengan nombor Keselamatan Sosial negara berkenaan.

Melalui nombor Keselamatan Sosial itu, pihak berkuasa beranggapan beliau adalah warga AS dan Zaidi menggunakan lesen memandu itu untuk beliau mencari pekerjaan.

SILIH TUKAR PEKERJAAN

Sepanjang 1990-an, Zaidi berkata, beliau silih bertukar pekerjaan misalnya sebagai pembersih pejabat pada sebelah malam manakala menjadi pembantu di sebuah kedai menjual air pancut hiasan pada siang hari. Ini sudah semestinya sesuatu yang memalukan untuk diberitahu kepada keluarga di tanah air.

Tatkala Zaidi bergelut meneruskan kehidupan di perantauan, keluarganya di Malaysia buntu bagaimana untuk mencari Zaidi di AS dan mereka juga tidak pasti sama ada beliau masih hidup atau sudah meninggal dunia.

“Keluarga tidak pernah berputus asa mencari saya. Kakak sulung saya cuba menghubungi saya, tetapi saya tetap menjauhkan diri kerana pada ketika itu saya belum bersedia untuk pulang ke tanah air,” katanya yang tetap menyimpan hasrat untuk pulang ke Malaysia suatu hari nanti.

Selepas hampir tujuh tahun di Reno, beliau akhirnya memperoleh pekerjaan stabil dalam sektor pelancongan yang membolehkan beliau menabung dan membeli sebuah van.

“Reno merupakan sebuah bandar raya hiburan terkemuka dunia terkenal dengan perarakan, kasino, dan pelbagai acara yang menggamit pelancong sepanjang tahun. Saya melihat ada peluang untuk menceburi khidmat pelancongan,” katanya.

Zaidi memulakan khidmat pelancongan ‘High Desert Tour’ dengan perniagaan beliau mula berkembang melalui syor agensi pelancongan dan pelanggannya.

PULANG KE MALAYSIA

Ketika beliau mula bertapak dalam lembaran baharu kehidupannya, pada 2018, beliau menerima mesej teks yang mengejutkan mengenai berita kematian ayahnya pada 2015 daripada sepupunya.

Sepupu Zaidi memujuknya supaya kembali ke tanah air kerana ibunya sudah berusia dan mahu berjumpa dengannya.

Tersentuh emosi dengan mesej itu, lebih-lebih lagi terkenangkan ibunya yang sudah berusia dan ingin berjumpa dengannya, menyebabkan Zaidi mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia.

“Sudah tentu saya mahu bertemu dengan ayah juga, malangnya beliau telah meninggal dunia,” kata beliau.

“Saya teruja dengan keazaman keluarga untuk memujuk saya pulang, adik-beradik saya dan anggota keluarga yang lain sedaya upaya berusaha memujuk saya pulang ke tanah air.

Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, Zaidi mengakui beliau kesal dengan apa yang telah berlaku namun bersyukur kerana mempunyai keluarga penyayang yang sanggup menunggu kepulanganya dari AS.

“Semua sanak-saudara bertandang ke rumah ibu semasa Hari Raya lepas. Sambutan Aidilfitri pertama saya selepas lebih tiga dekad berjauhan dengan keluarga. Saya benar-benar gembira dapat bersama-sama mereka dan amat bersyukur kerana mempunyai keluarga,” kata Zaidi.

Zaidi mengakhiri perbicaraan mengakui beliau insaf dengan apa yang telah dilakukannya dan bersyukur dapat kembali ke pangkuan keluarga dan tanah air sendiri.

Walaupun selepas 35 tahun meninggalkan tanah air, beliau kembali bukan sahaja demi keluarganya, malah berazam ingin menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan mencurahkan bakti kepada negara. – Frontdesk



(Visited 358 times, 1 visits today)

Comments

comments