Penyanyi Mesir punca juruterbang digantung kerja seumur hidup

KAHERAH: Seorang juruterbang diharamkan menerbangkan pesawat seumur hidup selepas membenarkan seorang selebriti duduk di kokpit ketika penerbangan peribadi ke Arab Saudi.



Pelakon dan penyanyi Mesir, Mohamed Ramadan memuat naik videonya duduk di kerusi pembantu juruterbang sambil memegang alat kawalan manakala seseorang didengar berkata “sumpah, dia yang menerbangkan pesawat sekarang.”

Pembantu juruterbang turut dikenakan tindakan dengan dilarang menerbangkan pesawat selama setahun disebabkan kejadian itu, lapor BBC.

Penerbangan dikendalikan Smart Aviation, dan ketua pegawai eksekutifnya turut meletak jawatan susulan kejadian itu, kata pegawai.

The Independent memetik Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Mesir mengesahkan kesahihan klip video berkenaan pada 14 Oktober lalu, dan menyiasatnya sebaik ia disiarkan di Internet.





Sementara itu, kementerian penerbangan awam Mesir berkata dalam satu kenyataan: “Selepas mengesahkan pelanggaran undang-undang penerbangan awam Mesir, kami mengambil langkah pencegahan berhubung tindakan cuai dan tidak bertanggungjawab (juruterbang berkenaan).”

Peraturan penerbangan Mesir melarang penumpang memasuki kokpit ketika penerbangan berlangsung.

Mohamed Ramadan yang mempunyai lebih tujuh juta pengikut di rancangan YouTube miliknya, memuat naik video itu ke Twitter dan Instagram pada 13 Oktober lalu.

Video itu mencetuskan kemarahan segelintir pengguna media sosial malah ada yang menggesa pelakon itu diboikot.



(Visited 109 times, 1 visits today)

Comments

comments