Ditangkap selepas selamatkan polis

MALAGA: Sekumpulan penyeludup dadah boleh dianggap sebagai wira selepas menyelamatkan tiga anggota polis yang hampir maut akibat terjatuh dari bot ketika mengejar mereka di lautan.

Bagaimanapun, selepas mengucapkan terima kasih kepada empat penyeludup berkenaan anggota polis itu kemudiannya menahan mereka.

New York Times melaporkan, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu apabila sebuah bot polis yang dibantu sebuah helikopter mengejar bot pengedar dadah di perairan Malaga, Sepanyol.

Satu rakaman video yang dirakam dari helikopter menunjukkan bot polis berkenaan cuba memintas tetapi berlanggar dengan bot yang dinaiki empat pengedar dadah itu.

Pelanggaran itu menyebabkan tiga anggota polis di dalam bot berkenaan tercampak bersama beberapa bungkusan dadah.

Bot itu kemudiannya berpusing-pusing dan anggota polis berkenaan cuba berenang bagi mengelak dilanggar.

Menyedari rakan mereka dalam bahaya, juruterbang helikopter menggunakan pembesar suara merayu penyeludup berkenaan menyelamatkan anggota polis itu.

Penyeludup itu akhirnya tidak melarikan diri sebaliknya menarik anggota polis berkenaan ke dalam bot mereka.

Drama itu kemudiannya berakhir dengan keempat-empat penjenayah itu ditahan dan polis turut merampas 80 bungkusan dadah jenis ganja.




(Visited 125 times, 1 visits today)

Comments

comments