Budak 2 tahun terperangkap 35 jam dalam lubang sempit

CHENNAI – Usaha menyelamat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terjatuh ke dalam sebuah lubang sempit di Tamil Nadu, India hari ini menemui jalan buntu apabila pasukan penyelamat terpaksa menangguhkan kerja menggali tanah di lokasi kejadian.

Operasi itu dihentikan seketika selepas penggerudi terkena batu keras sekali gus mencetuskan risiko tanah runtuh dan meningkatkan kebimbangan ia menimbus mangsa.



Insiden membabitkan B Sujith Wilson itu berlaku berhampiran rumahnya, kira-kira jam 5.30 petang (waktu tempatan) di Nadukattupatti dalam daerah Tiruchirappalli pada Jumaat lalu.

Mangsa terperangkap selama lebih 35 jam pada kedalaman 70 meter dan berisiko untuk jatuh lebih dalam lagi selepas lubang sempit tersebut disaluti lumpur.

Sebuah kamera mudah alih dihantar bagi memantau keadaan mangsa dan sepasukan doktor menyediakan bekalan oksigen daripada luar lubang tersebut.





Lapor Times of India, usaha menyelamat tersebut turut disertai bomba, Agensi Penyelamat Bencana Kebangsaan dan penduduk tempatan.

Pada Jun lalu, seorang budak lelaki berusia 2 tahun maut selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam 33 meter ketika bermain di Sangrur, daerah Punjab.

Kes Fatehveer Singh mencetuskan bantahan kerana mangsa lewat untuk diselamatkan. – Agensi



(Visited 93 times, 1 visits today)

Comments

comments