Alasan maki polis kerana mengantuk, Jurujual Didenda RM500

KUALA LUMPUR, 22 Okt : Seorang jurujual lelaki didenda maksimum RM500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis, Sabtu lepas.


Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Kua Kok Keong, 42, selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Koperal Nurul Afezi Md Akhir di Balai Polis Pandan Indah, di sini, pada 3.50 pagi, 19 Okt lepas.

Kua dituduh mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran supaya memberi kesedaran kepada tertuduh dan orang awam.




Bagaimanapun, Kua yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung dua anak, isteri dan ibu yang uzur.

“Gaji pokok saya RM1,000 sebulan dan saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama. Ditahan reman tiga hari cukup menginsafkan saya. Saya menyesal dan mohon maaf,” katanya.

“Masa itu saya mengantuk kerana bangun awal, sebab itu saya jadi marah. Saya harap mahkamah dapat kurangkan hukuman. Saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

“Sekarang saya sangat menyesal, kata-kata yang saya keluarkan tidak boleh ditarik balik,” katanya.





Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika sepasukan anggota Balai Polis Pandan Indah melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Persiaran MPAJ, Pandan Indah, di sini, mereka ternampak sebuah kereta yang dinaiki pasangan lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam.

Polis kemudian melakukan pemeriksaan terhadap kedua-dua individu tersebut dan seterusnya dibawa balik ke Balai Polis Pandan Indah untuk siasatan lanjut.

Namun, apabila sampai di balai, lelaki itu secara tiba-tiba meninggikan suaranya dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang bertugas.



(Visited 95 times, 1 visits today)

Comments

comments