Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Maut tertembak senapang sendiri

LELAKI maut selepas tertembak diri sendiri ketika sedang mencuci senapang patah miliknya di Kampung Perlis, Tikam Batu, Sungai Petani, petang semalam.

Dalam kejadian 5.50 petang itu, mangsa yang juga peniaga berusia 59 tahun dipercayai tertembak diri sendiri di bawah dagu sebelah kiri dengan senapang jenis Benelli di beranda rumahnya.



Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian hanya mangsa dan isterinya berada di rumah terbabit.

“Sebelum kejadian, isteri mangsa mengatakan ternampak suaminya membawa keluar senapang bersama peralatan mencuci senjata itu di bahagian beranda rumah.

“Beberapa minit kemudian, isteri mangsa terdengar bunyi tembakan dan meluru keluar rumah untuk melihat apa berlaku yang berlaku sebelum ternampak mangsa dalam keadaan tersembam di lantai.

“Apabila diperiksa, isteri mangsa mendapati suaminya berada dalam keadaan memeluk senjata di celah kangkang dan ‘barrel’ atau muncung senjata ke arah dagu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.




Beliau berkata, mangsa dipercayai mencuci senjata dalam keadaan duduk di kerusi sebelum tertembak di bawah dagu sebelah kiri berdasarkan kedudukan mayat dan kecederaan dialami.

Katanya, pihak forensik menemui tiga kelongsong peluru iaitu dua di luar senapang manakala satu kelongsong di dalam ‘chamber’ senapang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 6.35 petang oleh pegawai perubatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang tiba di lokasi kejadian.

“Mayat akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.



Comments

comments