Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Lampard paling sesuai urus Chelsea

LONDON: Frank Lampard ‘lebih bersedia’ berbanding mana-mana calon untuk mengendalikan Chelsea dan kelab Liga Perdana itu harus melantiknya sebagai pengurus, kata bekas rakan sepasukannya John Terry.




Pengurus kelab Liga Kejuaraan, Derby itu sedang mengadakan perbincangan mengenai posisi di Stamford Bridge, kelab yang mencipta namanya sebagai antara pemain tengah terbaik dunia pada generasinya.

Jawatan pengurus Chelsea kosong selepas Maurizio Sarri bertindak meletakkan jawatan, awal bulan ini untuk mengemudi juara Itali, Juventus.

Jika Lampard mengambil alih tugas berkenaan, dia dijangka diberikan tugas menyamai kejayaan yang dilakar Sarri termasuk menamatkan saingan Liga Perdana di posisi empat terbaik selain trofi Liga Europa ketika kelab itu berdepan dengan penggantungan pembelian pemain.

Begitupun Terry, yang kembali ke Liga Perdana sebagai pembantu kepada jurulatih Aston Villa, Dean Smith musim depan berkata rakan baiknya itu cukup berkemampuan untuk memikul tekanan yang dibawa oleh jawatan berkenaan.

“Selepas semusim bersama Derby dengan Chelsea turut dikenakan penggantungan pembelian pemain, tiada sesiapapun yang lebih bersedia berbanding Frank untuk berjaya di Chelsea,” kata Terry.





“Ia adalah masa yang tepat untuknya dan kelab. Frank berada dalam tekanan untuk berjaya di Chelsea sejak hari pertama dia tiba dari West Ham dan dia tidak pernah menyembunyikannya.

“Dia mengatasi dan mengharunginya untuk menjadi pemain terhebat Chelsea. Ia sama seperti sekarang dengan jawatan sebagai pengurus.”

Bekas pertahanan England itu turut merasakan Lampard tidak akan berdepan masalah yang menghantui Sarri sebelum ini iaitu tidak ‘disayangi’ penyokong sekali pun pengalamannya di arena pengurusan agak cetek.

“Saya tidak percaya akan ada tentangan daripada penyokong. Mereka menggemarinya. Dia adalah legenda dan kini masanya tepat untuk dia pulang. Dia pasti mengalu-alukan tanggungjawab untuk menjadikan Chelsea lebih kompetitif.

“Dia memiliki pengetahuan mengenai taktikal, semangat dan mendapat sokongan daripada pemain dan peminat untuk membuktikan kebolehannya.” – AGENSI



Comments

comments