Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Buat laporan polis palsu untuk tangguh kenduri kahwin

BUKIT MERTAJAM: Seorang juruteknik ditahan kerana membuat laporan polis palsu mendakwa disamun RM10,000, dipercayai akibat tertekan apabila keluarga isterinya meminta wang untuk mengadakan majlis perkahwinan.




Lelaki berusia 45 tahun itu sudah bernikah dengan pasangannya pada 15 Jun lalu dengan majlis kenduri perkahwinan mereka dijadualkan pada 25 Ogos ini.

Dia mendakwa disamun dua lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal jenis RXZ berhampiran sebuah kilang percetakan di Perai, kira-kira jam 10.30 malam Jumaat lalu sebelum membuat laporan polis keesokannya.

Dalam laporannya, juruteknik itu mendakwa kehilangan wang tunai RM10,000 dan pelbagai dokumen peribadi disimpang dalam beg silang miliknya yang dilarikan dua suspek terbabit.





Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata polis kemudian menjalankan siasatan di lokasi kejadian, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kilang percetakan berkenaan.

“Dalam pemeriksaan rakaman CCTV itu, tiada sebarang kejadian samun seperti dimaklumkan mangsa dirakam.

“Keterangan yang diberikannya juga mencurigakan dan polis kemudian menahan lelaki terbabit untuk siasatan kerana membuat laporan palsu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan juga pernah membuat laporan palsu pada 2010 dan dia kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.



Comments

comments