T-Team hantar surat rayuan kepada FMLLP

KUALA TERENGGANU: T-Team mengemukakan surat rayuan kepada Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) berhubung tindakan pemotongan mata yang dikenakan terhadap pasukan itu.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Aidi-Naim Mohamad Samsani, berkata T-Team sebenarnya tidak berdepan sebarang masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Begitupun, katanya pihaknya mengalami sedikit kelewatan dalam pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kesemua bayaran tertunggak itu sudah dijelaskan bulan lalu dan surat pengesahan KWSP diterima pada 27 April dan LHDN tiga hari selepas itu (30 April).





“Sememangnya ada sedikit kelewatan dalam mengemas kini sistem pengurusan maklumat bola sepak (SPMB) dan MYPass tetapi kami sudah memaklumkan perkara ini sebelum tarikh akhir diberikan oleh pihak FMLLP pada 31 Mac.

“Apa yang boleh saya katakan di sini, semua isu berhubung kelewatan pembayaran KWSP, PERKESO dan juga LHDN sudah diselesaikan dan akan memastikan perkara sama tidak akan berulang,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Semalam, FMLLP membuat pemotongan enam mata berkuat kuasa serta merta terhadap empat pasukan selepas gagal melengkapkan pendaftaran pasukan untuk menyertai Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Empat pasukan terbabit adalah Kelantan, T-Team, Perlis dan ATM yang berdepan masalah kewangan dan tunggakan gaji sehingga gagal memuat naik Surat Selesai Bayaran/ Tunggakan Gaji, Surat Selesai Bayaran/ Tunggakan KWSP, Surat Bayaran/ Tunggakan PERKESO dan Surat Selesai Bayaran/ Tunggakan LHDN bagi melengkapkan pendaftaran pasukan.

Aidi-Naim berkata, pihaknya berharap FMLLP dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya berhubung tindakan pemotongan mata memandangkan T-Team sudah berusaha menyelesaikan isu itu sebagaimana garis panduan diberikan FMLLP. – BH

(Visited 9 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,