Jual Makanan Berasaskan Ganja, Pesara Tentera Dan Isteri Diberkas Polis

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera bersara menyalahgunakan kreativiti dirinya apabila menghasilkan pelbagai jenis makanan berasaskan dadah jenis ganja sebelum dijual secara meluas menerusi Facebook.

Lelaki berusia 58 tahun berketurunan India dengan dibantu oleh isterinya, seorang wanita Indonesia berusia 35 tahun, menghasilkan pelbagai makanan yang menjadi kegemaran rakyat negara ini. Makanan yang diadun dengan ganja itu kononnya mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti kanser, sawan, kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi.

Antara makanan yang bercampur ganja dan mendapat permintaan ramai ialah mi­nyak, coklat, madu, marjerin, susu, kek dan pelbagai jenis pes. Lebih menarik pe­langgan juga boleh memberi cadangan kepada lelaki digelar ‘cef ganja’ untuk itu menghasilkan makanan berasaskan dadah tersebut mengikut cita rasa masing-masing.





Semua adunan makanan bercampur dengan ganja ditawar dengan harga mampu dibeli oleh pelanggan dan suspek mempromosi dan menjual ‘kepakarannya’ yang didakwa mujarab memulihkan pelbagai penyakit itu di media sosial.

Bagaimanapun, kegiatan suspek yang beroperasi di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang itu hanya bertahan lima bulan sebelum diserbu Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman pada Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari, polis menangkap pesara tentera berpangkat kapten, isterinya dan seorang pembantu pasangan berkenaan yang merupakan lelaki berketurunan India berusia 38 tahun.

“Tangkapan tersebut merupakan kejayaan pertama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada tahun ini dalam membongkar kegiatan mempromosi dan mengedar dadah melalui platform laman sosial,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

kek-dadah-honey

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang, berkata kek, coklat dan susu antara kelicikan yang digunakan 3 individu terbabit menjual dadah jenis ganja secara online, sebagai usaha mengaburi mata pihak berkuasa.

Polis juga berjaya merampas 18 pokok ganja, 4kg serbuk ganja, 72kg benih ganja, 4 liter cecair minyak dadah, 1.4kg coklat ganja, 125 liter madu ganja, 2 liter majerin ganja, 1 liter susu dicampur ganja, 400 gram kek ganja serta alat pemprosesan ganja berjumlah RM16,000.

Kang berkata kumpulan yang menggunakan jolokan nama “Dr Ganja” turut menawarkan perkhidmatan perubatan bagi tujuan penjualan dadah.

Perkhidmatan itu juga bagi mengubati semua jenis penyakit yang tidak mampu dirawat dihospital.

“Harga bagi kek campuran ganja sebiji RM25, madu RM50 dan coklat sekeping RM5,” katanya.

Katanya, kes jualan ganja secara online itu yang pertama dikesan bagi tahun ini selepas 2015 dan 2016.

Semua suspek direman 7 hari sehingga 2 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kang berkata antara 1 Januari hingga 25 Mei 2017, polis berjaya merampas 1,325kg dadah bernilai RM99.36 juta.

“Daripada jumlah itu sebanyak 76,738 orang ditangkap melibatkan warga tempatan dan asing,” katanya.

(Visited 12 times, 1 visits today)

Comments

comments