VIDEO Jaringan tunggal penalti, Hodgson pertahan anak buah

_77362628_wayne_rooney_celeb2_rLONDON: Pengurus England, Roy Hodgson bangkit mempertahan persembahan anak buahnya yang sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 kepada Norway pada aksi persahabatan pertama selepas Piala Dunia di Stadium Wembley, awal pagi tadi.

Wayne Rooney meledak gol tunggal England pada penampilan pertamanya selaku kapten menerusi penalti di minit ke-68 namun berdasar statistik, hanya dua cubaan tepat ke gawang berjaya dihasilkan tuan rumah.

Malah hanya 40,181 peminat – kurang separuh daripada kapasiti di Wembley – hadir menyaksikan perlawanan terbabit dengan England gagal mempamer kualiti diharapkan hanya empat hari sebelum perlawanan pertama kelayakan Euro 2016 menentang Switzerland di tempat lawan.

Dan Hodgson yang disoal wartawan dengan soalan terbabit bingkas mempertahan pemainnya.

“Dua cubaan tepat di gawang? Kamu jangan memberitahu saya perkara itu,” kata Hodgson kepada wartawan yang bertanyakan soalan itu kepadanya.

“Bagaimana dengan kesemua cubaan yang mereka (pertahanan Norway) halang? Bagaimana dengan cubaan (Daniel) Sturridge, melakukan kuisan melepasi penjaga gol dan terhalang oleh tiang gol?

“Jangan menyoal saya mengenai statistik. Apabila kami memiliki begitu banyak penguasaan bola, dan kamu hendak berkata kepada saya mengenai dia cubaan ke gawang lawan?,” katanya dengan nada berang.

Penyerang baru Arsenal, Danny Welbeck yang masuk menggantikan Rooney menjadi satu-satunya pemain England yang berjaya menguji penjaga gol Norway, Orjan Haskjold Nyland dengan cubaan tepat ke gawang.

Dan persembahan baik ditampilkan bekas pemain Manchester United itu tidak berjaya menambat hati Hodgson yang mengakui penyerang utamanya, Rooney belum berada pada prestasi terbaiknya.

“Ia adalah malam yang besar buat Wayne,” kata Hodgson yang turut memberikan pemain Aston Villa, Fabian Delph dan Arsenal, Calum Chambers permainan pertama bersama skuad England.

Dalam pada itu, Rooney mengakui permainan pertama England selepas Piala Dunia “amat hambar” namun memuji permainan ditampilkan pemain Liverpool, Raheem Sterling yang menghadiahkan penalti kepadanya.

“Raheem Sterling adalah ancaman, dia menarik pemain kepadanya,” kata Rooney. “Ia tidak sentiasa berlaku namun dia pemain yang menarik untuk disaksikan. Kami boleh melakukan lebih baik namun malam ini penting untuk kami menang,” katanya. – AFP

Like FACEBOOK untuk highlights terkini

(Visited 6 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,