Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

‘Tunjukkan bukti gambar anak saya tersepit’

IPOH 21 Julai – Bapa kepada seorang pemuda yang ditemui mati tersepit di palang besi tingkap dapur ketika cuba menceroboh masuk rumah jirannya, bercadang membuat demonstrasi bagi menyangkal keputusan bedah siasat bahawa anaknya itu mati disebabkan oleh sesak nafas.

Mohd. Damanhuri Mohd Fuat, 50, berkata, dia akan melantik seorang sukarelawan yang berbadan sama saiz seperti anaknya untuk ‘melakonkan semula’ aksi pecah masuk rumah tersebut bagi membuktikan seseorang itu tidak boleh mati dengan hanya sesak nafas akibat tersepit, melainkan teruk dipukul.

“Saya telah melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah esok bagi menjalankan bedah siasat kali kedua. Saya akan melihat kepada keputusannya dahulu sebelum membuat demonstrasi ini.

“Sekiranya keputusan adalah sama (mati disebabkan sesak nafas akibat tersepit), saya tetap tidak akan berpuas hati kerana kenapa ada kesan lebam di badan seperti dipukul dengan objek keras termasuk di perutnya seperti dipijak serta dicekik di leher dan diikat di pergelangan tangan?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, tindakan anak sulung Mohd. Damanhuri iaitu Sherol Aizan, 27, yang didapati cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu di Taman Saz di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Suspek, Sherol Aizan Mohd. Damanhuri, 27, ditemui dalam keadaan tersepit di dada dengan kedua-dua belah tangannya tegak menjulur ke dalam, sebaik sahaja pemilik rumah itu pulang pukul 12.15 tengah malam.

Ketika ditemui, suspek hanya memakai seluar dalam jenis ‘boxer’. Mangsa dipercayai masuk dengan membuka dua keping tingkap di bahagian sinki dapur rumah jenis teres setingkat itu yang hanya selang beberapa buah rumah daripada kediaman keluarganya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki berusia 58 tahun yang terkejut menemukan mangsa di dapur rumahnya.

Katanya, pihaknya yang bergegas ke tempat kejadian lima minit selepas itu mengeluarkan suspek yang tersepit namun lelaki tersebut dipercayai telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Suspek kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Hasil bedah siasat dan autopsi mengesahkan suspek meninggal dunia disebabkan oleh postural asphyxia iaitu sesak nafas akibat tersepit.

“Siasatan awal polis juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kes itu. Polis menjumpai baju, seluar dan kasut suspek di dalam sinki rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di luar bilik mayat HRPB di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chang Keong menafikan dakwaan keluarga suspek bahawa anak sulung mereka itu telah dipukul serta dicekik di leher selain diikat di kedua-dua belah pergelangan tangan ekoran terdapat kesan hitam dan lebam di anggota badan berkenaan.

Beliau turut menafikan terdapat unsur jenayah bercirikan perkauman dalam kes tersebut dan mengesahkan kematian suspek diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Namun, Mohd. Damanhuri bertegas tidak mahu mengebumikan jenazah anaknya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat tersebut.

Ekoran itu, Mohd. Damanhuri berkata, dia telah membuat satu laporan polis di pondok polis Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira pukul 11 pagi semalam kerana percaya terdapat unsur jenayah atas kematian anaknya.

“Saya perlukan bukti gambar untuk menunjukkan bahawa anak saya mati disebabkan sesak nafas akibat tersepit di tingkap.

“Yang pasti saya tidak kebumikan jenazah anak selagi tidak dapat kebenaran. Mayat anak saya masih lagi disimpan di rumah mayat HRPB ketika ini,” katanya yang turut berhasrat untuk membuat satu lagi laporan polis selepas ini. [Utusan]

Comments

comments