Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Nazmi bantu PKNS ikat Seladang

Lumut: Penampilan sulung bintang muda negara, Nazmi Faiz Mansor bersama Selangor PKNS memberi impak positif apabila mengilhamkan kedua-dua gol bagi membolehkan pasukannya seri 2-2 dengan Perak dalam saingan Liga Super di Stadium TLDM Lumut malam tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim gagal dalam misi menebus kekecewaan tewas di tangan skuad Seladang 0-1 pada pusingan pertama di Stadium Shah Alam 30 Mac lalu.

Tuan rumah bagaimanapun terlebih dulu dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat selepas Patrick Ronaldinho meledak gol pertama PKNS seawal minit kelima yang diilhamkan Nazmi yang tampil beraksi buat kali pertama dengan kelab itu.

Rangel bukti berbisa

Tersentak dengan gol itu, Perak yang dibimbing Azraai Khor Abdullah kembali memperkemaskan jentera serangan dan hasilnya Abdul Hadi Yahya menyamakan kedudukan apabila bijak menyudahkan lorongan Sharulnizam Mustapa pada minit ke-25 dan keputusan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tuah terlebih dulu memihak kepada Perak yang meledak gol kedua menerusi bintang import baru pasukan itu, Paulo Rangel pada minit ke-55.

Nazmi sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Perak apabila mengilhamkan satu lagi gerakan bagi membolehkan Ronaldinho meledak gol kedua peribadi sekali gus menyamakan kedudukan pada minit ke-74.

Dengan keputusan itu, PKNS berkongsi 15 mata dengan Perak, tetapi mempunyai kelebihan jaringan di tangga keenam liga.

Highlight perlawanan di sini.

Comments

comments

, , ,