Impian debut Wan Zack, FC Ryukyu rahsiakan gaji


HASRAT melihat Wan Zack Haikal Wan Noor melakukan debut (kemunculan sulung) bersama pasukan kelab divisyen tiga Jepun, (JFL), FC Ryukyu bakal jadi kenyataan.

Ini kerana, pemain sayap kanan kebangsaan itu disenaraikan jurulatih pasukan pada pertemuan keenam liga berdepan Sagawa Printing di Stadium Okinawa jam 2 petang ini waktu tempatan.

“Memang nama saya berada dalam senarai untuk pada perlawanan ini. Cuma saya kurang pasti akan diturunkan atau tidak.

“Apa yang boleh saya katakan, saya sudah memberikan 100 peratus dalam sesi latihan dan terpulang kepada strategi jurulatih.

“Saya berjanji ambil kesempatan terbaik untuk penampilan sulung nanti,” katanya kepada pemberita di Okinawa, Jepun semalam.

Wan Zack akui, dia harus menggandakan latihan kerana jurulatih meletakkannya di posisi kiri sepanjang sesi latihan.

“Kebiasaan saya selesa di posisi kanan tetapi ia bukan satu masalah besar untuk terus berjaya di sini,” katanya.

Sementara itu, Wan Zack menepis dakwaan liar segelintir pengkritik mengatakan pemain negara ini yang sekadar hangat-hangat tahi ayam selepas diberikan peluang bermain luar negeri.

“Saya akan cuba tamatkan kontrak dua tahun di Ryukyu seperti mana termaktub dalam perjanjian asal,” katanya yang kini hilang tiga kilogram berbanding berat asal 68 kilogram.

Wan Zack tidak keseorangan di Jepun kerana turut ditemani Nazirul Naim Che Hashim yang tiba di Ryukyu sejak tiga minggu lalu.

Sementara itu, NAIB Presiden kelab FC Ryukyu, Sotaro Shinoda enggan mengulas lanjut nilai gaji diterima dua pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim.

Ia selepas dua pemain negara mula menyertai kelab yang berpangkalan di Okinawa sejak tiga minggu lalu.

“Tiada komen. Apa boleh saya katakan, gaji mereka tidak tinggi dan tidak terlalu rendah. Ia bergantung kepada tahap persembahan masing-masing.

“Mungkin akan meningkat pendapatan bulanan mereka jika mencapai sasaran ditetapkan pihak pengurusan kelab, “ katanya.

(Visited 11 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,