Forkey Doe sedia bantu Red Giants

KUALA LUMPUR – Penggantungan dua perlawanan yang membabitkan Abdul Shukur Jusoh dan Afiq Azmi mungkin tidak lagi diratapi oleh Selangor dengan kehadiran semula Francis Forkey Doe yang baru pulih daripada kecederaan bagi memperkuatkan cabaran Red Giants bertemu pendahulu Liga Super, Lions XII di Stadium Shah Alam, malam ini.

Perkara itu cukup melegakan pengendalinya, Irfan Bakti yang gembira dengan usaha pasukan perubatan pasukan Selangor kerana dapat memastikan Forkey Doe dapat pulih lebih awal daripada yang dijangka.

“Forkey Doe telah tiga hari turun menjalani latihan dan saya rasa dia benar-benar bersedia untuk berdepan Lions XII jika dilihat pada tahap kecergasannya.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada petugas perubatan yang bertungkus-lumus bagi memastikan Forkey Doe sembuh lebih cepat.

“Apa yang pasti dengan adanya Forkey Doe di barisan serangan, peluang kami untuk cuba meraih kemenangan dalam perlawanan esok (malam ini) semakin tinggi ditambah dengan kehadiran pemain baru, Adam Griffiths memperkuatkan pertahanan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Forkey Doe terpaksa berehat selama sebulan sebelum ini kerana kecederaan buku lali semasa perlawanan suku akhir Piala FA kedua bertemu Johor Darul Takzim, 16 April lalu, ketiadaannya jelas memberikan masalah kepada jentera serangan Red Giants.

Dalam aksi terakhir Liga Super menentang pasukan di tangga tercorot, Negeri Sembilan, Selangor sekadar seri tanpa jaringan dan terpaksa mengharapkan jaringan daripada pemain tengah, Shukur Jusoh dan pertahanan, Adib Aizuddin Abdul Latif bagi mengikat kelab India, East Bengal, 2-2 pada perlawanan Piala AFC di Shah Alam, Selasa lalu.

Selangor yang berada empat mata di belakang pendahulu, Lions XII dalam saingan liga perlu meraih tiga mata jika tidak mahu terus tercicir dalam perebutan trofi Liga Super.

Hakikat itu dipersetujui oleh Irfan yang menyifatkan perlawanan hari ini adalah saat terbaik buat Red Giants merapatkan jurang dengan pasukan jemputan itu memandangkan beraksi di kandang sendiri.

“Tidak boleh seri atau kalah dalam perlawanan ini, kita perlu ambil kesempatan dengan mencari kemenangan supaya kita tidak berada terlalu jauh di belakang mereka (Lions XII).

“Bagi saya, Lions XII memang sebuah pasukan yang cukup berdisiplin dan kita perlu berhati-hati semasa mereka melakukan serangan balas serta situasi bola mati.

“Kehadiran Baihakki Khaizan dan ketua pasukan, Shahril Ishak pasti menyulitkan kami kerana cukup berbahaya jika tidak diberikan kawalan kemas, ” katanya.

Saksikan perlawanan ini secara streaming di sini.

(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,