Jurugambar tipu 100 model wanita

KUALA LUMPUR 14 Mac – Golongan wanita dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap seorang lelaki yang menyamar sebagai jurugambar model dan menipu mangsa dengan menawarkan pekerjaan lumayan sebelum menyamun mangsa termasuk dipaksa melakukan hubungan seks.

Sehingga kini dianggarkan seramai 100 orang model menjadi mangsa lelaki berkenaan yang menggunakan nama DkDk Choong, Alvon Choong dan Derek Choong.

Perbuatan lelaki itu terbongkar selepas seorang model wanita menaikkan status di laman sosial Facebook kerana diganggu lelaki itu, baru-baru ini yang menyamar sebagai jurugambar sehingga mendapat perhatian hampir 100 wanita lain yang turut menjadi mangsa.

Model itu, Leng Yein, 28, berkata, dalam tempoh seminggu menaikkan status dan nombor telefon lelaki itu dalam laman sosial tersebut, dia dihubungi lebih 70 orang model wanita yang mendakwa mereka turut diganggu suspek.

“Lelaki itu menghubungi saya untuk menawarkan satu pekerjaan dengan bayaran RM250,000 tetapi saya menolak kerana tidak mengenalinya.

“Bagaimanapun, suspek mula menganggu hampir setiap hari dan kerana terlalu marah, saya telah menaikkan nombor telefonnya di Facebook. Status itu mendapat perhatian ramai pihak termasuk model-model yang pernah terpedaya dengan suspek,” katanya dalam sidang akhbar Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.

Kata Yein, melalui pendedahannya itu, dia mengetahui lelaki tersebut bukan sekadar menawarkan pekerjaan palsu malah turut menyamun model-model wanita berkenaan.

“Seorang model menceritakan kepada saya bagaimana dia tertipu ketika bertemu suspek di sebuah hotel bajet di ibu negara. Bagaimanapun semasa dia berada di dalam bilik air, barang berharga miliknya dilarikan suspek.

“Suspek kemudian menghubungi model itu dan mengugut mengatakan mempunyai gambar bogel yang ditemui dalam telefon bimbit yang dicuri. Malah saya difahamkan ada model lain turut dipaksa lelaki itu untuk melakukan seks,” katanya.

Seorang jurugambar, Jawsus Cheng, 30, pula mendakwa, suspek turut menggunakan namanya untuk memperdayakan ramai model wanita.

“Suspek menyamar sebagai saya dan menawarkan pekerjaan lumayan kepada model wanita. Saya tidak tahu, sejauh mana penipuan lelaki itu tetapi kegiatannya terbongkar selepas seorang rakan memaklumkan, lelaki itu menelefonnya untuk meminta nombor telefon model-model wanita,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong berkata. sekurang-kurangnya 100 model wanita telah diganggu dan ditipu lelaki tersebut.

“Menurut mangsa, suspek telah melakukan perbuatan ini hampir dua tahun dan dia tidak ditangkap kerana tiada model yang tampil membuat laporan polis tetapi kita akan pastikan dia akan dikenakan tindakan,” katanya.

(Visited 7 times, 1 visits today)

Comments

comments