Shila tidak berbangga dengan 5 Juta

IBARAT bunga negara yang menebar wangi di tanah orang, kejuaraan Shila Amzah di Shanghai, China telah membuahkan kebanggaan jutaan jiwa. Lebih utama, haruman yang dipersembahkan olehnya tidak dibayar dengan limpahan wang tunai sebaliknya menjadi jambatan untuk melebarkan langkah bergelar penyanyi di peringkat antarabangsa.

Jujur kata Shila, dia tidak pernah memikirkan imbuhan yang diterima berdasarkan jumlah ‘angka’ tetapi mahu menikmati seluas-luasnya peluang yang dibuka oleh Yang Maha Berkuasa.

“Sebenarnya saya sendiri tidak suka hadiah dalam bentuk wang tunai. Kalau dilihat sejak memasuki pertandingan One In The Million dahulu pun, ketika itu saya berusia 19 tahun. Pencapaian itu membawa rezeki yang berganda-ganda buat saya. Saya dapat bermacam-macam peluang dan kalau dihitung dengan cermat, jumlahnya melebihi wang tunai yang dijanjikan.

“Bila diberi hadiah berupa dana untuk kejuaraan di Asian Wave ini, saya sangat-sangat bersyukur. Sebanyak mana pun duit, memanglah RM5 juta itu banyak, tapi kalau dibelanjakan ikut suka hati, sekelip mata pun boleh habis. Dengan dana yang dijanjikan, saya boleh usahakan lebih daripada jumlah itu,” katanya yang percayakan kejayaan yang diraih hari ini adalah kuasa Allah yang tiba pada masa yang tepat buatnya.

Tidak pasti tentang jumlah sebenar yang hadiah yang dimenangi, kata Shila dia diyakini penganjur bahawa dana pembangunan kerjaya di China oleh Shanghai Media Group (SMG) yang akan diterimanya melebih RM1 juta.

“Ia termasuklah untuk pembikinan album, penataan imej dari segi fesyen dan penampilan serta pembiayaan kursus bahasa Mandarin untuk melengkapkan diri berada di sana,” ujar Shila yang berbesar hati kerana mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri yang turut menyampaikan ucapan tahniah atas kemenangannya.

Ke pentas antarabangsa

Dua belas tahun penantian untuk mencapai momen terbesar dalam karier seninya, Shila menganggap setiap kejadian yang berlaku ke atas diri dan karier adalah penentuan dan pilihan daripada Tuhan.

“Kalau industri memanglah saya macam masih baharu, tapi saya menyanyi sejak kecil, masuk tahun ini sudah 12 tahun saya menyanyi. Masa pertandingan One In The Million musim pertama, saya nak pergi uji bakat, tapi papa tak benarkan sebab saya baru berusia 16 tahun. Bila masuk musim kedua, barulah saya dibenarkan dan dapat ke final.

“Bila masuk Mania pula, saya seronok kerana ingat itu pertandingan yang disertai bersama kawan-kawan. Sampailah di pertengahan pertandingan barulah saya sedar bahawa pertandingan tetap pertandingan dan ketika saya sedar perkara itu, setiap orang ada ‘permainan.’ Saya terlambat dan tiada rezeki,” beritahunya.

Mengakui Mania sebagai medan yang banyak memberi pengajaran dan kematangan kepadanya, tambah Shila juga: “Selepas Mania, saya jadi lebih positif untuk berdepan anasir negatif dalam mana-mana pertandingan.”

Ditanya tentang langkah yang akan dibawa ke serata China, Shanghai khususnya selepas ini, Shila membahagikan destinasi kariernya, 50 peratus untuk Malaysia dan 50 lagi untuk Shanghai.

“Dalam tempoh sehingga tahun depan, sekurang-kurangnya saya akan berulang-alik ke Shanghai sebanyak lima kali. Saya juga kena lepaskan peluang tawaran untuk persembahan di Anugerah Industri Muzik kerana ketika itu saya dijadualkan untuk menjayakan konsert di Beijing bersama Eric Moo.

“Malaysia tetap akan jadi pangkalan karier saya, tapi akan saya banyak berada di Shanghai untuk promosi dan karier. Dalam waktu yang sama, hujung tahun nanti saya juga mahu lancarkan album studio dan saya hasilkan sendiri,” katanya mengakui sukar untuk berjauhan dengan keluarga, kekasih hatinya, Sharnaaz Ahmad apatah lagi mengenangkan makanan di Malaysia yang sukar didapati di luar negara.

Magis hijab

Masuk tahun ketiga bergelar duta produk kecantikan Safi Balqis, Shila tidak menafikan impak promosi jenama bawah pengurusan Safi Balqis bergerak seiring dengan kerjaya.

“Selepas jadi duta Safi Balqis, saya mula gunakan nama Shila Amzah. Mula dari situ, kalau orang semakin mesra dengan panggilan Shila Amzah. Seronoknya menjadi duta ialah saya dapat bertemu peminat di serata tanah air termasuklah peminat di luar bandar. Saya boleh menyanyi dan bertemu peminat.

“Semasa ditawarkan kontrak tahun ketiga bersama Safi Balqis, saya belum berhijab. Bila mula berhijab saya reda kalau-kalau nama saya digugurkan kerana sudah berubah imej. Namun, Alhamdulillah, syarikat itu masih ada keyakinan terhadap saya,” katanya teringatkan imej yang turut menjadi kerisauan kepadanya ketika hendak bertanding di Shanghai.

Masih lagi tentang jenama dan penampilannya sebagai duta produk untuk sasaran wanita muda itu, kata Shila ada kejutan istimewa akan disaksikan dalam iklan terbaharu produk berkenaan.

“Jangan terkejut kalau orang akan nampak Sharnaaz dalam iklan itu nanti. Mula-mulanya, pihak Safi mencari model iklan lelaki yang lain tapi mereka mahu tarikan dan renungan mata yang kuat antara kami berdua. Tiba-tiba ada yang petik nama Sharnaaz, dan kenapa tidak,” lentur Shila sambil ketawa manja.

Dia tahu umum sedang memerhatikan gelagat percintaannya dengan aktor kacak itu. Untuk fasa yang sedang dilalui ketika ini, mereka sendiri terbuka dalam perhubungan yang telahpun direstui kedua-dua keluarga itu.

 Diharapnya, masyarakat juga tidak terlalu mendesak untuk melihat ke mana arah tuju kasih mereka dalam jangka masa terdekat ini.

“Untuk ke fasa yang seterusnya, saya percaya kepada kuasa dan ketentuan Ilahi. Saya tak nafikan cerita cinta kami selama ini membuatkan nama saya dan Sharnaaz dikenali orang, tapi saya juga tidak mahu impak yang tidak sepatutnya berlaku kerana banyak sangat kisah cinta. Kami kena basuh setiap kisah kami dengan pencapaian karier kami juga, biar seiring,” ungkap Shila yang kian dewasa dilingkari resam anak seni.

(Visited 10 times, 1 visits today)

Comments

comments

,