Raja Bola dalam kenangan

KEHEBATAN Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat di atas padang sebagai pemain lebih banyak diperkatakan berbanding kariernya sebagai jurulatih.

Pelbagai kejuaraan dikecapi Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung Jumaat lalu sebagai pemain tidak kira di peringkat domestik dan antarabangsa termasuk pingat gangsa pada Sukan Asia 1962 di Jakarta, Indonesia.

Mungkin ramai tidak tahu, Tan Sri Abdul Ghani Minhat merupakan pemain Malaysia yang pertama ditawarkan beraksi di Liga Perdana Inggeris pada 1962.

Allahyarham dilamar kelab Cardiff City yang mahu beliau menjadi pemain profesionalnya, namun Allahyarham menolak. Sebaliknya, Abdul Ghani membuat keputusan menjelajah England dan Eropah selama empat bulan.

Gelaran Raja Bola yang diberikan Persatuan Bola Sepak Selangor, kekal hingga ke akhir hayat apatah lagi dengan kehebatannya di padang meletakkan Selangor sebagai pasukan terkuat di Malaysia ketika itu. Beliau turut mencatat rekod dengan 34 gol dalam sembilan perlawanan pada 1960.

Namun selepas bersara sebagai pemain, Allahyarham memulakan karier sebagai jurulatih apabila mendapat lesen pada 1969 dan menjadi jurulatih kebangsaan dari 1971 hingga 1976.

Selain itu Allahyarham turut menyumbang segala pengalamannya dengan membimbing Selangor pada 1970-1972 dan 1983-1984 untuk muncul pemain dan jurulatih yang memenangi Piala Malaysia.

Bagi bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Azlan Johar, Allahyarham mempunyai sentuhan magis sebagai jurulatih bukan saja dalam menggilap kemahiran pemain di atas padang malah dalam aspek kehidupan.

“Allahyarham yang memberi peluang kepada saya bermain dengan Kelab Sultan Selangor pada 1979, ketika itu saya baru berusia 16 tahun. Dalam tempoh tiga tahun saja di bawah bimbingan Allahyarham, saya berjaya menyertai Selangor dan pasukan kebangsaan.

“Bagi saya Allahyarham adalah seorang jurulatih yang mempunyai magis bukan hanya mendidik pemain tentang bola sepak tapi juga mengajar untuk menjadi manusia yang baik. Sebut saja nama pemain-pemain hebat dulu seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Shukor Salleh semuanya berguru dengan Allahyarham,” katanya yang ditemui pada majlis pengebumian jenazah Abdul Ghani di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 petang Jumaat lalu.

Menurut Azlan, Allahyarham yang dilahirkan di Negeri Sembilan seorang yang suka berseloroh dan mengambil berat rakan-rakan seperjuangan dan bekas pemain yang dilatihnya.

Sehingga kini, beliau masih berpegang kepada kata-kata Allahyarham : “Setiap langkah yang kita atur, kita lakukan untuk diri sendiri, ibu-bapa dan keluarga.” Bagaimanapun, Azlan berkata, Allahyarham juga tidak menyembunyikan kekecewaan mengenai perkembangan bola sepak kebangsaan ketika ini. “Allahyarham kecewa dengan bola sepak negara, kita lebih suka bagi alasan daripada memberi pandangan,” jelasnya.

Sementara itu turut berkongsi kesedihan dengan pemergian Abdul Ghani buat selama-lamanya adalah Chin Aun yang pernah menimba ilmu dengan Allahyarham ketika menyarung jersi Selangor pada 1970.

“Saya kenal beliau sejak kecil, saya anggap beliau sebagai abang. Bagi saya, pemergiannya satu kehilangan cukup besar kepada bola sepak negara,” katanya.

Rakan seangkatan Chin Aun, Santokh yang turut hadir pada majlis pengebumian itu bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh yang cukup disegani itu turut menyatakan kesedihan.

“Beliau adalah jurulatih pertama saya bagi Kejohanan Remaja Asia 1972 di Bangkok. Beliau mengajar pemain-pemain erti kesungguhan, disiplin dan dedikasi untuk mengharumkan nama negara,” katanya.

 Sesuatu yang menarik, Allahyarham pernah menjaringkan 106 gol dalam 15 perlawanan sehingga dianugerahkan gelaran Pemain Bola Sepak Terbaik bagi tahun 1959 dan 1960.

(Visited 8 times, 1 visits today)

Comments

comments

,