Harimau Muda tewas tipis

Nasib tidak menyebelahi Harimau Muda apabila tewas 2-1 kepada Gombak United dalam saingan Liga Singapura di Stadium Jalan Besar malam ini.

Pada perlawanan pertama dengan Gombak United pada awal musim, Harimau Muda telah berjaya menang 2-0.

Harimau Muda memulakan perlawanan dengan percubaan pertama oleh Wan Zack dari kiri gawang gol Gombak United pada minit ke-2 tetapi telah tersasar.

Diikuti dengan rembatan jarak jauh oleh Gary Robbat yang juga tidak berjaya seminit selepas itu.
Pasukan Gombak United tidak kurang hebat dengan melakukan beberapa asakan selepas pertahanan mereka dicabar oleh Harimau Muda.

Pada minit ke-7 Ahmad Suhaimi merembat bola ke arah gol namun hanya terkena palang.

Pertahanan bersatu padu Gombak United menyukarkan gawang golnya ditembusi dan telah menggesa Harimau Muda untuk melakukan percubaan dari jarak jauh.

Dua minit kemudian, Thamil Arasu melancarkan rembatan hebat yang hampir meletakkan Harimau Muda 1-0 di hadapan namun masih tidak berjaya.

Pada minit ke-15 Suhaimi sekali lagi melakukan percubaan dari kotak penalti tetapi berjaya diselamatkan oleh Izham Tarmizi.

Asakan demi asakan oleh kedua-dua pasukan gagal menembusi gawang gol pihak lawan sepanjang separuh masa pertama. Kedudukan 0-0 tamat babak pertama perlawanan.

Gombak United memulakan babak kedua dengan asakan bertubi-tubi di kubu Harimau Muda.

Kelekaan pertahanan gagal mengawal Zulfadhi Emran yang merembat gol dari luar kotak penalti dan meletakkan Gombak United 1-0 di hadapan pada minit ke-51.

Dua minit selepas itu, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee melakukan perubahan dalam pasukan dengan menggantikan Saarvindran dengan Shahrul Saad bagi mengukuhkan lagi benteng pertahanan.

Pada minit ke-64 Gombak United sekali lagi mengukuhkan kedudukan melalui jaringan oleh Jung Hee Bong dari dalam kotak penalti.

Tiga minit selepas itu Wan Zack dikasari dalam kotak penalti dan Harimau telah diberikan sepakan penalti.

Jaringan penalti oleh Wan Zack meletakkan kedudukan Harimau Muda 1-2 Gombak United.

Untuk meneruskan asakan demi mendapatkan gol penyamaan, Ong Kim Swee telah menggantikan Nazirul Naim dengan Fandi Othman pada minit ke-72 dan Syahrul Azwari masuk menggantikan Ahmad Hazwan pada minit ke-78.

Gombak United yang telah mendahului 2-1 dilihat lebih memilih untuk bertahan sementara Harimau Muda masih cuba untuk mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-80.

Namun, keputusan 2-1 sudah cukup untuk Gombak United mengutip tiga mata apabila wisel dibunyikan pada masa penamat.

Harimau Muda yang berada di Singapura selama 10 hari untuk melangsaikan tiga perlawanan Liga Singapura minggu ini akan pulang ke Malaysia esok untuk bertemu pasukan Kemboja pada 2 Oktober.

(Visited 3 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,