Titisan air mata gembira peneroka

JERANTUT – Para peneroka yang hadir pada majlis pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pemberian durian runtuh sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) melahirkan rasa penuh syukur, malah ada yang menitiskan air mata kegembiraan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan durian runtuh bukan sahaja kepada para peneroka tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) malah untuk isteri dan anak mereka serta 19,000 orang warga kerja lembaga itu.

Durian runtuh untuk para peneroka itu berjumlah RM1.689 bilion.

Ia bakal diagihkan kepada seramai 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Ketika mengumumkan berita menggembirakan itu di hadapan kira-kira 50,000 warga peneroka Felda pada Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8 dekat sini, Najib berkata, Felda kini telah memasuki satu transformasi baharu setelah penyenaraian FGVH.

Beliau berkata, pemberian durian runtuh dalam bentuk wang tunai itu akan dilakukan dalam tiga fasa.

Setiap fasa berjumlah RM5,000, masing-masing untuk ketua keluarga, isteri peneroka dan generasi kedua Felda.

Kalangan 50,000 orang peneroka, isteri, generasi kedua dan warga kerja Felda yang ditemui pada majlis pengumuman tersebut di Felda Jengka 8 di sini penuh ceria dan gembira mendengar ucapan Perdana Menteri itu.

Penyenaraian FGVH yang dijangkakan pada pertengahan tahun ini bakal meningkatkan modal nilai pasarannya kepada RM21 bilion berbanding RM3 biliion pada masa sekarang.

Cadangan penyenaraian tersebut telah diumumkan pada akhir tahun lalu dan bagi menguruskan proses penyenaraian tersebut, FGVH telah melantik lima bank pelaburan, iaitu dua bank tempatan dan tiga bank antarabangsa.

Bagi Pengerusi Gerakan Perkumpulan Wanita (GPW) Wilayah Terengganu, Wan Saedah Wan Musa, 56, pengumuman Perdana Menteri itu telah melenyapkan sama sekali tohmahan pembangkang yang selama ini membuat pelbagai kenyataan bertujuan menggagalkan penyenaraian FGVH.

(Visited 7 times, 1 visits today)

Comments

comments

,