Siapa pilihan Rajagobal

TEKA-TEKI mengenai siapa yang bakal mengemudi jentera serangan skuad bola sepak kebangsaan menjelang aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Shah Alam, Jumaat ini masih belum terjawab.

Kelmarin, jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal hanya menurunkan pilihan utama seperti Mohd. Safee Sali, Ashari Samsudin dan Norshahrul Idlan Talaha pada 20 minit terakhir semasa menewaskan Felda United 2-1 dalam aksi pemanas badan di padang Wisma FAM.

Selain ketiga-tiga pemain tersebut, Rajagobal turut menguji kemampuan penyerang Pahang, Azamuddin Akil bersama dua penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Md. Ali dan Shahurain Abu Samah yang turut meledak gol dalam perlawanan itu.

Satu lagi gol Harimau Malaya diledak oleh pemain tengah, Amar Rohidan sementara gol tunggal Felda United dilakar oleh Abdul Ghani Rahman menerusi satu sepakan percuma dua minit sebelum perlawanan tamat.

Meskipun kekal berteka-teki, Rajagobal mengakui berpuas hati dengan persembahan keseluruhan skuad kebangsaan menjelang pertemuan menentang Filipina kelak.

“Keputusan perlawanan tidak penting, saya cuma mahu pemain saya mendapat rentak untuk perlawanan sebenar.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan kecergasan pemain, pemain juga dilihat dapat melakukan hantaran yang baik selain kombinasi sesama pemain juga bagus,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Untuk rekod, Malaysia sekadar seri 1-1 dengan Filipina dalam satu aksi persahabatan terakhir antara kedua-dua pasukan di Stadium Memorial Rizal, Manila pada 29 Februari lepas.

Selepas berdepan anak-anak buah Michael Weiss Jumaat ini, skuad negara bakal berkunjung ke Stadium Jalan Besar berdepan Singapura pada 8 Jun depan sebelum kembali berdepan pasukan sama di Stadium Shah Alam empat hari kemudian.

Ketiga-tiga siri ujian persahabatan kelas A itu merupakan persediaan awal Harimau Malaya dalam usaha mempertahankan Piala AFF Suzuki yang dimenangi di Jakarta dua tahun lepas.

(Visited 8 times, 1 visits today)

Comments

comments

,