DAP tak sambung khidmat senator Tunku Aziz

KUALA LUMPUR: DAP tidak menyambung perkhidmatan Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai Senator kerana menganggap kenyataan terbukanya membantah perhimpunan BERSIH 3.0 yang disokong parti itu pada 28 April lalu memalukan parti.

Ahli Dewan Negara itu berkata, dalam pertemuannya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, baru-baru ini beliau bersetuju menyambung semula perkhidmatan itu, tetapi bertukar sebaliknya selepas kenyataan itu.

Tunku Abdul Aziz berkata, beliau tidak akan menarik balik kenyataan berkenaan atau memohon maaf dan tetap dengan pendiriannya.
“Saya bukan menolak perhimpunan itu, tetapi tidak bersetuju jika kita melanggar undang-undang.

Selepas kenyataan itu, DAP berasakan saya buat salah dan memalukan parti.

“Justeru, saya memberi mereka pilihan sama untuk melantik saya atau tidak dan jika mereka was-was, saya akan berundur. Saya tidak mahu jika orang tidak mahu saya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Tempoh Tunku Abdul Aziz sebagai Ahli Dewan Negara akan berakhir pada 30 Mei ini selepas dilantik pada 2009. Beliau menyertai DAP pada Ogos 2008.
Baru-baru ini, Tunku Abdul Aziz secara terbuka menentang penganjuran perhimpunan BERSIH 3.0 kerana berdasarkan pengalaman serta pemerhatiannya dalam perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman, berakhir dengan keganasan. Bantahannya itu menjadi kenyataan apabila penganjur BERSIH 3.0 gagal mengawal peserta sehingga menimbulkan rusuhan.

Diminta mengulas hubungannya dengan pemimpin DAP, Tunku Abdul Aziz berkata, beliau masih bersama parti tetapi menegaskan semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

“Saya belum sampai mahu keluar parti. Setiap kita pasti memiliki pandangan yang berbeza dan saya seorang yang terbuka. Walaupun saya bersama parti, jika saya tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, saya tidak mahu berdiam. Saya ada pandangan sendiri,” katanya.

Tunku Abdul Aziz juga berkata, walaupun tidak dilantik sebagai Senator, beliau tetap akan berkhidmat untuk rakyat dan matlamat utamanya adalah untuk mengintegrasikan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Negara ini berbeza dengan negara lain. Kita negara berbilang bangsa dan budaya. Kita harus mencari jalan untuk menyatukan semua bangsa dan berharap DAP juga melakukan perkara yang sama,”’ katanya.

Di GEORGETOWN, Guan Eng mengusulkan bekas Presiden Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Dr Ariffin SM Omar sebagai Senator menggantikan Tunku Abdul Aziz pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa kehadiran ADUN pembangkang yang memulau persidangan sejak kelmarin.

Ariffin yang juga pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyertai DAP tahun lalu. Beliau adalah pakar sejarah Melayu dan pernah menghasilkan beberapa buku kajian mengenai bangsa Melayu.

Guan Eng juga mengusulkan untuk melantik bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mahamud sebagai Ahli Dewan Negara.

Syed Shahir, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggantikan Senator Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff, yang tamat perkhidmatan akhir bulan ini.

(Visited 4 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,